BALIK PULAU –  Seorang duda yang tular selepas memecut laju van dipandunya sehingga menyebabkan anggota polis trafik terpaksa melepaskan tembakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan menghalang penjawat awam dan memandu secara berbahaya dalam kejadian pada Rabu lalu.

Tertuduh Firdaus Farok, 36, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Chia Huey Ting.

Mengikut pertuduhan pertama, duda kepada dua cahaya mata itu didapati dengan sengaja menghalang Konstabel Mohd Azruredza Nikmat daripada menjalankan tugas awamnya iaitu dengan tidak memberikan kerjasama semasa diperiksa dan memecut laju kenderaan ke hadapan Golden Triangle 2 di Jalan Dato Ismail Hashim.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di lampu isyarat persiaran Relau, Jalan Dato Ismail Hashim dalam daerah Barat Daya jam 8.05 pagi, pada 10 Julai lalu.

Tertuduh tidak mengaki salah atas dua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa sebagai pemandu van hijau putih dengan nombor pendaftaran PMJ 986 telah memandu kenderaan tersebut secara melulu dan mendatangkan bahaya kepada orang ramai apabila jalan yang digunakan itu tidak sesuai dan banyak lalu lintas.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu berhampiran susur ke bulatan Bayan Baru dalam daerah Barat Daya jam 7.45 pagi pada tarikh sama.

Timbalan Pendakwa Raya, R. Lushani mencadangkan jaminan RM18,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan namun tertuduh yang diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon jaminan dikurangkan atas alasan sudah tidak bekerja selepas ditahan polis.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin.

Majistret kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 24 September depan sebagai tarikh serahan dokumen serta lantikan peguam.

Sementara itu, di mahkamah sama, tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan memberikan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine kepada diri sendiri di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya jam 4 petang pada 10 Julai lalu,

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 dan pengawasan polis untuk tempoh tidak melebihi tiga tahun.

Huey Ting kemudian membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM2,200 sementara menunggu laporan kimia pada 24 September depan.

Media pada Rabu lalu melaporkan polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah tayar depan sebuah van yang dipandu seorang lelaki selepas cuba melanggar anggota pasukan itu di Jalan Datuk Ismail Hashim, Bayan Lepas di sini.

Dalam kejadian jam 8 pagi, suspek lelaki tempatan berusia 36 tahun yang juga pemandu van tersebut berjaya ditahan setelah melarikan diri kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast