GEORGE TOWN – George Town Festival 2024 (GTF 2024) memohon maaf atas salah faham video promosi mereka selepas didakwa tidak menonjolkan budaya Melayu.
Pasukan tersebut juga telah menurunkan klip video berhubung sambutan festival tersebut di semua saluran media sosial, laman sesawang dan aplikasi Youtube George Town Festival.
GTF 2024 dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan tersebut dibuat untuk mengurangkan salah faham dalam kalangan orang ramai.
“Kami mengambil peluang ini untuk memohon maaf atas segala kekurangan, kesulitan, kekhilafan dan salah faham yang timbul berhubung isu ini.
“Sebenarnya, kesemua perancangan dan promosi GTF 2024 telah cuba sedaya upaya untuk memastikan perwakilan yang inklusif, komprehensif dan seimbang termasuk daripada segi kategori program, kumpulan jantina, umur serta perwakilan etnik dalam semua program.
“Selain itu, kami juga menjemput wakil berbilang bangsa untuk terlibat sama dalam video promosi tersebut,” katanya hari ini.
Tambahnya, lapan program oleh individu dan kumpulan masyarakat Melayu akan disajikan dalam festival yang bermula Jumaat ini.
Sementara itu, George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) juga berkata, pihaknya sentiasa komited memelihara dan mengangkat nilai keharmonian bersama antara semua warisan kebudayaan di Pulau Pinang.
“Projek itu bakal memaparkan 80 program yang mana 53 program adalah persembahan daripada seniman tempatan dalam bentuk seni filem, teater, pameran, seni pemasangan, dan pengalaman deria silang disiplin,” katanya.
Terdahulu, Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) dan Gabungan Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Melayu Negeri Pulau Pinang (Gagungan) mengecam video promosi itu yang didakwa hanya mempromosikan kebudayaan kaum Cina dan India. – MalaysiaGazette