Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah memperuntukkan RM100 juta bagi Projek Rintis melalui inisiatif belanjawan 2024.

Projek tersebut melibatkan pakej pembekalan, penghantaran dan perkhidmatan aplikasi secara terus untuk baja sebatian, baja bio beserta baja organic di empat negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Terengganu dan Kelantan.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan berkata, pembekalan baja dilaksanakan secara pembajaan tepat dan khusus berdasarkan maklumat soil profiling yang telah disyorkan oleh Jabatan Pertanian mengikut status kesuburan tanah di Kawasan yang dikenalpasti.

“Pembekalan baja berdasarkan keperluan tanah serta penggunaan baja bio dan organik dalam penanaman padi di kawasan terpilih merupakan langkah permulaan kerajaan dalam usaha dan meningkatkan kesuburan tanah sekaligus menyumbang kepada peningkatan hasil pengeluaran pada dan beras negara,” katanya.

Selain itu, pemberian subsidi dan insentif sedia ada iaitu Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) dan Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) masih diteruskan.

“Walau bagaimanapun, pelaksanaan program tersebut tidak akan melibatkan kawasan yang terpilih di bawah Program Rintis.

“KPKM akan sentiasa memastikan kebajikan pesawah terjaga melalui pemberian subsidi dan insentif dari semasa ke semasa,” katanya. – MalaysiaGazette