Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 25 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) sedia menambah baik prosedur operasi standard (SOP) melibatkan pembinaan lebuh raya di laluan awam bagi mengelakkan kejadian tidak diingini atau merisikokan pengguna jalan raya.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, mana-mana pihak boleh mencadangkan SOP yang boleh diteliti agar ia lebih dinamik dan tidak statik.

“SOP ini adalah satu garis panduan supaya kita menggunakan cara yang terbaik. Sebab itu, ia  dinamik dan bukan mati di situ sahaja.

“Kalau Yang Berhormat ada cadangan, kemukakan kepada kami dan mungkin kita boleh lihat kalau itu boleh diambil sebagai penambahbaikan proses SOP kita,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) yang bertanya adakah kerajaan bercadang untuk memperkemaskan SOP khususnya aspek keselamatan bagi projek pembinaan berhampiran dengan laluan awam.Selain itu, beliau turut meminta penjelasan sama ada pihak kerajaan akan mendedahkan laporan siasatan insiden kepada umum.

Menjawab lanjut, Alexanader berkata, laporan kajian insiden akan diumumkan kepada umum sekiranya ia melibatkan kemalangan berskala besar dan meragut nyawa.

“Itu tanggungjawab kita untuk mendedahkan kajian atau apa-apa dapatan daripada kajian ataupun siasatan kepada kes itu.

“Ia adalah kewajipan moral untuk memaklumkan kepada awam. Namun jika insiden tersebut melibatkan kerosakan yang kecil, mungkin ia tidak perlu,” ujarnya. – MalaysiaGazette