HULU SELANGOR – Ladang kelapa sawit iaitu lokasi penemuan mayat Nur Farah Kartini Abdullah, 25, merupakan kawasan tumpuan kaki pemancing, selain terletak berhampiran penempatan pekerja Indonesia.
Lokasi ladang kelapa sawit yang menghubungkan Sri Keledang di sini, dengan Slim River, Perak itu juga terletak di laluan yang agak sibuk dengan kenderaan.
Seorang penduduk tempatan, Roslan Sidek, 37, berkata, dia yang bekerja sebagai nelayan darat menggunakan laluan itu setiap hari termasuk tengah hari semalam.
Bagaimanapun, katanya, dia langsung tidak menyedari adanya mayat dalam ladang kelapa sawit itu kerana tiada tanda-tanda seperti bau busuk dan sebagainya.
Jelasnya, dia hanya mengetahui ladang kelapa sawit itu menjadi lokasi pembuangan mayat ketika pulang bekerja petang semalam selepas melihat kawasan tersebut sudah dipasang pita polis.
“Sebab itu saya terkejut apabila turut diberitahu orang kampung ladang kelapa sawit ini jadi lokasi penemuan mayat kes seorang wanita yang tular, sebab jika diikutkan kawasan ini sibuk dengan laluan kenderaan setiap hari,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Shaharuddin Ali, 52, berkata, penemuan mayat di ladang kelapa sawit itu mengejutkan penduduk kerana mengingatkan semula kejadian penemuan mayat seorang lelaki di dalam longkang tanpa kepala hampir 10 tahun lalu berdekatan lokasi sama.
“Tak sangka kejadian penemuan mayat berlaku sekali lagi di kawasan ini dan bukan hanya menggemparkan kami penduduk setempat, malah seluruh negara,” katanya.
Media semalam melaporkan penemuan mayat Nur Farah Kartini dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya di ladang kelapa sawit, Kampung Sri Kledang di sini, pukul 6 petang semalam.
Nur Farah Kartini yang berasal dari Miri, Sarawak yang juga bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dilaporkan hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan.
Susulan penemuan mayat Nur Farah Kartini itu, polis menahan reman seorang penjawat awam berusia 26 tahun selama semingggu bermula hari ini bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette