Foto FB Perikatan Nasional.

KUALA LUMPUR –  Pemakaian lilitan putih oleh Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) pada lengan kiri masing-masing sejak semalam tidak melanggar peraturan Dewan Rakyat.

Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Md Nor berkata, keputusan dibuat berdasarkan pendiriannya selagi lilitan itu tidak bertentangan dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

“Yang Berhormat, pertamanya kalau ikut peraturan hendak berdiri bangkitkan peraturan mana. Itu satu,Mere walau bagaimanapun saya ambil maklum apa yang Yang Berhormat nyatakan.

“Ini pendirian saya, bukan Speaker. Selagi pakaian itu tidak melanggar syarat-syarat yang ditetapkan Peraturan Dewan, silakan, ini keputusan saya,” katanya.

Beliau menjawab soalan Bung Moktar Radin (BN- Kinabatangan) yang mempersoalkan tindakan Ahli Parlimen pembangkang yang memakai lilitan kain putih ketika hadir sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Sejak semalam,  Ahli Parlimen hadir ke Dewan Rakyat dengan memakai lilitan putih pada lengan kiri masing-masing.

Tindakan itu sebagai tanda protes terhadap keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, yang sebelum ini memutuskan enam kerusi disandang bekas wakil rakyat Bersatu kekal dan tidak berlaku kekosongan.

Perkara itu dimaklumkan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) ketika bangkit mengutarakan soalan pada sesi jawab lisan dengan tindakan protes itu merujuk kepada Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang merujuk berkaitan pertukaran parti politik anggota Dewan Rakyat.

“Riben Putih di lengan kiri sebagai protes berlakunya ‘reformati’… spesifik merujuk kepada (Perkara) 49A. Soalan Masjid Tanah sudah beri, mohon jawapan menteri,” katanya melalui pantun yang disampaikan.

Khamis lalu, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memberitahu, Ahli Parlimen gabungan utu akan memakai lilitan putih di lengan pada Sidang Dewan Rakyat minggu ini sebagai protes keputusan Johari yang tidak mengosongkan kerusi enam bekas wakil rakyat Bersatu.

Beliau berkata, tindakan itu juga sebagai kecewa dengan keputusan Johari yang disifatkan sebagai black decision.

Pada 9 Julai lalu, Johari menerusi surat kepada Bersatu memaklumkan enam bekas Ahli Parlimen parti itu yang sebelum ini mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai wakil rakyat.

Enam Ahli Parlimen yang dikekalkan kedudukan sebagai wakil rakyat walaupun keahlian mereka digugurkan daripada BERSATU adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang). – MalaysiaGazette