Anggota polis membawa suspek ke lokasi penemuan mayat Nur Farah Kartini di ladang sawit Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 16 JULAI 2024.

SUNGAI BULOH – Polis mengesahkan mayat Nur Farah Kartini Abdullah yang ditemui di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Ledang, Hulu Selangor semalam, sudah hampir reput.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mayat mangsa dipercayai dibunuh beberapa hari lalu.

“Ketika mayat mangsa ditemukan, keadaannya sudah hampir remput kerana telah meninggal dunia beberapa hari.

“Jadi, belum dapat dipastikan kecederaan yang ada (pada badan mangsa),” katanya ketika dihubungi.

Tambah beliau lagi, masih terlalu awal untuk menyimpulkan motif sebenar kejadian kerana kes sedang dalam siasatan.

Selain itu, beliau juga mengesahkan tiada sebarang senjata ditemui di lokasi kejadian.

Hussien turut menafikan, berlaku perselisihan faham antara mangsa dan suspek seperti yang didakwa.

“Proses bedah siasat masih lagi dijalankan (hari ini) bagi mengetahui punca kematiannya,” jelasnya.

Terdahulu, polis telah menahan seorang lelaki merupakan anggota berpangkat lans koperal bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Suspek berusia 26 tahun kini direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette