Anggota Polis dipercayai mengukur kedalaman sungai berdekatan lokasi penemuan mayat Nur Farah Kartini di Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 16 JULAI 2024.

KUALA LUMPUR- Sepasukan penyelam daripada Unit Forensik Polis Diraja Malaysia akan melakukan pencarian telefon pintar milik Nur Farah Kartini Abdullah di kawasan parit berhampiran ladang sawit, Kampung Sri Keladang, Hulu Selangor, esok.

Difahamkan, peranti itu adalah bukti penting dalam siasatan pembunuhan Wanita berusia 25 tahun tersebut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus ketika dihubungi mengesahkan operasi pencarian berkenaan.

Mayat Nur Farah Kartini ditemukan kira-kira 6 petang semalam dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya.

Susulan itu, polis turut menahan seorang lelaki yang juga penjawat awam bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Polis Perak kemudian mengesahkan suspek adalah seorang anggotanya berpangkat lans koperal yang bertugas di Balai Polis Slim River di Tanjung Malim dan sudah lima tahun berkhidmat.

Suspek kemudian direman tujuh hari sehingga 22 Julai untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.-MalaysiaGazette