Immtiaz (tengah) menerima anugerah tersebut pada Malaysian Institute of Accountants International Conference (MIAC) 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Pelajar tahun akhir program Ijazah Sarjana Muda Perakaunan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dipilih sebagai salah seorang penerima Anugerah National Accounting Student Excellence Award (NASEA) 2023.

Mohammad Immtiaz Laimon yang berasal dari daerah Putatan kini sedang menjalani latihan industri di firma audit antarabangsa KPMG di Kota Kinabalu.

Menurut Immtiaz, kejayaan merangkul anugerah tersebut merupakan detik berharga yang dihadiahkan untuk keluarga, rakan seperjuangan dan para pensyarah yang menjadi tonggak utama kejayaan beliau.

“Saya percaya anugerah ini akan dapat memberi lebih banyak ruang dan peluang untuk saya di alam pekerjaan kelak.

“Saya juga bangga kerana dapat membawa nama UMS ke dalam dunia perakaunan di peringkat kebangsaan dan saya percaya selepas ini lebih banyak kejayaan yang akan mengangkat nama UMS di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.

Immtiaz menerima anugerah tersebut pada Malaysian Institute of Accountants International Conference (MIAC) 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau juga berharap agar lebih ramai pelajar akan mempraktikkan keseimbangan dalam bidang akademik serta penglibatan kokurikulum.

Sementara itu, UMS dalam satu kenyataan berkata, anugerah tersebut diberikan kepada pelajar terbaik bagi universiti tempatan yang diiktiraf di bawah Akta Akauntan 1967, sekali gus mengharumkan nama UMS di peringkat kebangsaan.

“Anugerah tersebut menitikberatkan kecemerlangan akademik dan kokurikulum pelajar sepanjang pengajian di universiti tempatan,” katanya.