Gambar fail

KUALA LUMPUR- Empat individu termasuk pasangan suami isteri pempengaruh dibebaskan daripada tahanan reman oleh Majistret Irza Zulaikha Rohaniddin selepas reman berakhir hari ini.

Menurut sumber, kesemua suspek diperintahkan untuk membayar wang jaminan sebanyak RM100,000 setiap seorang di mana RM20,000 perlu dibayar secara tunai dan baki RM80,000 tanpa cagaran, masing-masing dengan seorang penjamin.

Kata sumber, kesemua suspek juga perlu hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebulan sekali untuk melaporkan diri dan sekiranya diperlukan oleh pihak SPRM sehingga siasatan selesai.

Sumber memberitahu, 10 Julai lalu SPRM telah menahan kesemua suspek ketika hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan dana derma awam.

“Suspek yang merupakan pasangan suami isteri dipercayai melakukan perbuatan tersebut sejak 2020 dengan menyeleweng kutipan derma yang tidak disalurkan dengan cara yang betul.

“Dianggarkan kutipan derma terbabit mencecah kira-kira RM3 juta dan pada masa yang sama dua lagi suspek turut ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes yang sama,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.-MalaysiaGazette