Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) mengalu-alukan pembabitan semua pihak termasuk pesara guru dan sukarelawan luar negara dalam usaha menyediakan persekitaran bagi membantu meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris di kawasan pedalaman.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, KPM mengakui golongan pesara guru sebelum ini telah banyak membantu KPM  meningkatkan tahap pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam bahasa Inggeris.

Namun beliau berkata, kerajaan menyambut baik sekiranya ada sukarelawan dari Singapura yang mahu membantu Malaysia bagi mencapai tujuan sama.

“Kalau sukarelawan Singapura hendak datang kita alu-alukan, kalau guru bersara pun kita alu-alukan. Tidak ada masalah kerana ini ada dalam perkhidmatan guru yang bersara dan banyak membantu KPM untuk meningkatkan pengjaran dan pembelajaran dalam BI.

“Program ini membolehkan pesara guru dan pensyarah bahasa Inggeris menyokong dan membantu dalam persekitaran imersif di sekolah selaras objektif memperkasa penguasaan bahasa Inggeris,” katanya pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan cadangan membawa tenaga pengajar bahasa Inggeris dari Singapura, hanya sebagai sukarelawan bagi membantu meningkatkan penguasaan bahasa itu di kawasan pedalaman.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, cadangan itu ibarat skim bantuan daripada segi diplomasi antara negara, bukan bermaksud Malaysia mahu melantik guru Bahasa Inggeris dari Singapura. – MalaysiaGazette