Hamidah (tengah) bergambar bersama penerima geran industri antarabangsa Noor Azlina (kanan) serta Jamalunlaili (dua dari kanan).

KUALA LUMPUR – Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjadi universiti pertama di Malaysia yang menerima perisian simulasi pembuatan logam AFDEX (Advisor for Metal Forming process Design Experts) dan Geran Industri Antarabangsa daripada MFRC (Metal Forming Research Corporation) Korea.

Perisian itu digunakan di Institut Penyelidikan Pembuatan Pintar, Sekolah Kejuruteraan Mekanikal UiTM dan dibuka untuk penyelidikan dan kerjasama industri.

Presiden MFRC, Profesor Mansoo Joun berkata, derma dan geran industri antarabangsa telah dianugerahkan kepada ketua program dan Felo SMRI UiTM, Prof. Madya Ir. Dr. Noor Azlina Mohd. Salleh.

“Pengiktirafan ini hasil daripada program latihan industri tahunan yang cemerlang, kerjasama penyelidikan, dan inisiatif mobiliti seperti program musim panas dan persidangan yang telah berlangsung sejak 2016.

“Selain itu, Penghargaan juga diberikan kepada Dr. Mohd Kaswandee, ahli MFRC dan alumni UiTM, yang telah mengekalkan hubungan rapat dengan UiTM dan SMRI,” katanya.

Selain itu, tiga lagi alumni Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Amirah Nabilah Azman (Sarjana), Nurul Aqilah Razali (Sarjana) dan Afaf Amera Abd.Ghawi (Sarjana), telah menamatkan pengajian pasca siswazah mereka dengan tajaan penuh daripada kerajaan Korea dan MFRC.

Perisian ini telah mencatat kejayaan dalam industri logam di Korea serta di Jerman, Jepun, China, Thailand, Indonesia, India dan Turki, terutamanya dalam mengurangkan masa pemprosesan, kos dan pengoptimuman aliran logam, inovasi pintar dalam industri logam serta proses penempaan yang inovatif.

Perisian yang sangat digunakan dalam industri Korea ini akan diperkenalkan kepada industri logam di Malaysia melalui geran industri antarabangsa dan pertukaran kakitangan.

Penolong Naib Canselor Kolej Kejuruteraan UiTM, Prof. Ir. Ts. Dr. Hamidah Mohd Saman berkata, UiTM berasa bangga menjadi universiti pertama di Malaysia yang menerima perisian ini serta geran industri antarabangsa.

“Dengan bekerjasama rapat dengan rakan industri Korea seperti MFRC, kita dapat menyediakan penyelesaian kepada industri logam untuk menjadi kompetitif melalui penambahbaikan yang akan diperoleh melalui perisian simulasi serta menyediakan para pelajar dalam kepakaran dan kemudahan simulasi Korea selaras dengan Dasar Nasional Industry4WRD,” katanya.

UiTM juga telah menandatangani perjanjian MoU dengan MFRC Korea mengenai kerjasama strategik yang menambah dimensi nilai baru kepada pembangunan industri logam, pelajar, pertukaran kakitangan, penyelidikan dan penerbitan, latihan serta pengajaran dan pembelajaran.

Dr. ManSoo Joun a berharap agar UiTM dan MFRC akan mendapat manfaat daripada pertukaran budaya bagi meningkatkan nilai graduan yang dihasilkan serta kelestarian industri logam.

Untuk makluman, MFRC merupakan sebuah syarikat perkhidmatan simulasi pembentukan logam terkemuka di Korea. – MalaysiaGazette