KUALA LUMPUR – Kolej Kediaman Pertama Universiti Malaya (UM) menubuhkan kelab berasaskan ekoterapi yang dinamakan ‘ASTAR Recreational and Educational Club’ (ASTREC).
Penubuhan kelab yang bersifat serampang dua mata ini telah mencipta platform untuk mahasiswa berekreasi sambil belajar.
Sambil memperkukuhkan elemen ekoterapi, penubuhan kelab ini secara tidak langsung bakal melahirkan pemimpin yang mencintai alam sekitar.
Pengetua Kolej Kediaman Pertama UM, Dr Mohd Istajib Mokhtar yakin dengan menghubungkaitkan aktiviti gaya hidup sihat dengan usaha kelestarian alam dan komuniti setempat, bakal melahirkan mahasiswa holistik yang bakal menjuarai isu ‘planetary health’ (kesihatan bumi) pada masa hadapan.
Mahasiswa tahun kedua jurusan undang-undang UM yang juga merupakan pengarah ekspedisi, As’ad Zufayri berkata, aktiviti pertama kelab ini adalah sebuah ekspedisi ringkas ke Taman Negara, Pahang.
“Pengisian program ini direkabentuk khusus bagi memberi peluang ahli kelab untuk menikmati ‘mandi hutan’ yang sebenar, berlatar belakangkan hutan hujan tropika yang berusia lebih 100 juta tahun.
“Selain itu, para peserta juga berpeluang menyantuni masyarakat orang asli suku Batek yang menjadi penghuni tetap Taman Negara,” katanya.
Ekspedisi tiga hari dua malam itu disertai 20 orang mahasiswa UM dari pelbagai latar belakang pengajian ini menyaksikan para peserta mendekati alam semulajadi bukan hanya menerusi pemerhatian flora dan fauna semata-mata, malah turut menuntut kecergasan fizikal.
“Melalui ekspedisi ini kami berpeluang melihat haiwan yang aktif pada waktu malam, seperti babi hutan, kelawar, dan kubung Sunda.
“Selain itu, kami juga berpeluang mendaki Bukit Teresek yang berketinggian 334 meter dari paras laut. Walaupun pendakiannya tidak mencabar, namun cukup memberi pengalaman kepada sebahagian peserta yang tidak pernah melakukan aktiviti mendaki,” ujarnya.
Dr Mohd Istajib berharap, program itu dapat diteruskan lagi pada masa hadapan dengan penambahbaikan yang akan mempertingkatkan daya tahan mahasiswa, di samping memupuk kepentingan konservasi biodiversiti di dalam diri mereka. – MalaysiaGazette