Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menyediakan barisan penceramah bertauliah dikenali sebagai Zamalah Yadim yang sentiasa memberi pengisian dan pencerahan dalam pelbagai bidang.

Barisan penceramah ini mempunyai tauliah daripada majlis agama Islam negeri-negeri dalam pelbagai bidang seperti al-Quran, perbandingan agama, pemantapan bahasa, muamalat, fiqh kontemporari, pengurusan haji dan umrah, pengurusan jenazah dan lain lain lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Zamri Zainal Abidin berkata, Zamalah Yadim merupakan komitmennya sebagai peneraju gerakan dakwah di negara iniĀ  menggunakan tenaga pakar yang bertauliah dan diyakini.

Menurutnya, penceramah yang disenaraikan dapat memberi kesahihan serta mampu menjadi rujukan dalam sesuatu isu.

“Orang ramai diminta berhati-hati dengan kemunculan ramai pendakwah di media sosial yang diragui kelayakannya sebelum membuat rujukan atau menghadiri sebarang kelas ilmu dalam talian.

“Sebagai contoh, baru-baru ini timbul isu seorang ‘ustaz’ yang meminta supaya seorang peserta wanita membuka kamera video untuk melihat pergerakan bibirnya ketika membaca a-Quran bagi mengesahkan ia sesuai dengan kehendak syarak.

“Tindakan tersebut telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat, ” ujarnya.

Tambah Zamri, bagi mereka yang ingin mendapatkan khidmat Zamalah Yadim ini, boleh layari Facebok rasmi Yadim atau pautan https://www.yadim.com.my/v2/direktori-zamalah-yadim/ di laman web badan dakwah ini.

Bagi mendapatkan khidmat mereka, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Pembangunan Duat di talian 03-8870 3870 atau emel du’[email protected].

Selain itu, senarai Zamalah Yadim ini juga boleh didapati di negeri-negeri dengan
menghubungi pejabat-pejabat Yadim negeri. – MalaysiaGazette