KUALA LUMPUR – UMNO mempunyai dua pilihan untuk menarik semula sokongan orang Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Bekas Bendahari UMNO, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, pilihan pertama adalah mengambil tanggapan orang Melayu banyak terhutang budi kepada UMNO atas usaha mendapat kemerdekaan negara pada 1957 dan pelbagai bantuan khas yang telah diberikan oleh UMNO kepada orang Melayu.
Pilihan kedua, tambah bekas Ketua Menteri Sabah itu, mengambil tanggapan UMNO banyak terhutang budi kepada orang Melayu kerana memberi peluang kepada parti itu memerintah negara selama 60 tahun.
“Menjelang PRU-16 nanti, UMNO perlu mengenal pasti sikap yang paling sesuai untuk menarik balik sokongan dan kembalikan keyakinan orang Melayu terhadap UMNO.
“Kita perlu memilih satu dari antara dua pilihan yang wujud pada masa ini,” katanya menerusi hantaran di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Tambah Salleh, jika UMNO memilih pedekatan yang sesuai dan mempunyai sikap yang betul, maka harapan untuk menarik balik sokongan dan mengembalikan keyakinan orang Melayu terhadap UMNO akan tercapai.
Terdahulu, menerusi laman sosial sama, pemimpin UMNO Sabah itu menegaskan, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak boleh wujud bersama, dengan salah satu parti perlu disingkirkan.
Jelasnya, beliau berpendirian objektif politik UMNO ketika ini adalah untuk merampas semula semua kerusi UMNO yang dimenangi Bersatu pada PRU-15.
“Sebarang perbincangan politik dengan Bersatu bukan pilihan. Kita harus fokus kekuatan politik kita untuk memenangi semula kerusi yang hilang kepada Bersatu pada PRU-15.
“Sasaran utama jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang adalah memenangi semula kerusi yang hilang kepada Bersatu pada November 2022 (PRU-15),” katanya. – MalaysiaGazette