Anggota polis membawa suspek selepas Unit skuba dan sub akuatik forensik PDRM menemui telefon pintar dipercayai milik mangsa di lokasi kawasan ladang kelapa sawit susulan penemuan mayat Nur Farah Kartini Abdullah di Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 17 JULAI 2024.

HULU SELANGOR – Rakan kenalan dan kawan sepejabat antara 26 individu yang telah diambil keterangan bagi membantu siasatan kematian Nur Farah Kartini Abdullah setakat ini.

Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya turut memanggil beberapa anggota polis bagi melengkapkan kertas siasatan.

“Ramai saksi kita sudah panggil, 26 saksi dipanggil dan dirakam percakapan.

“Kawan-kawan kenalan, anggota polis sepejabat dengan dia, saksi awam yang ada kaitan dengan siasatan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau meluangkan masa hampir 30 minit di lokasi pembunuhan di kawasan parit, ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan suspek ditahan susulan penemuan mayat mangsa di ladang sawit Kampung Sri Kledang di sini, jam 6 petang.

Suspek ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Nur Farah Kartini yang dilaporkan hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan ditemukan mati dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya. – MalaysiaGazette