Unit Anjing Pengesan (K9) turut membantu dalam proses pencarian bahan bukti di lokasi kawasan ladang kelapa sawit susulan penemuan mayat Nur Farah Kartini Abdullah di Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 17 JULAI 2024.

HULU SELANGOR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melakukan penyelaman di lokasi lain bagi mencari bahan bukti kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah.

Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, bagaimanapun pihaknya enggan mendedahkan butiran lokasi kedua itu.

“Ada satu lagi, di kawasan ini (Kampung Sri Kledang) sudah selesai, satu lagi yang kita perlu selam di tempat lain.

“Masalahnya saya pun tak tahu, 20 minit dari sini (lokasi kejadian utama), iaitu di kawasan Perak,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Anggota polis membawa suspek bagi membantu proses pencarian bahan bukti di lokasi kawasan ladang kelapa sawit susulan penemuan mayat Nur Farah Kartini Abdullah di Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 17 JULAI 2024.

Terdahulu, anggota unit sub akuatik PDRM menemui telefon pintar dipercayai milik Nur Farah Kartini di kawasan parit ladang kelapa sawit di Kg Sri Kledang, Hulu Bernam jam 12.21 tengah hari tadi.

Bahan bukti itu ditemui selepas hampir sejam pencarian dilakukan oleh tiga anggota berkenaan di dasar parit yang sebelum ini ditemui mayat Nur Farhana Kartini, Isnin lalu.

Terdahulu, suspek pembunuhan bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dibawa ke lokasi kejadian kira-kira jam 11 pagi tadi.

Suspek yang juga anggota berpangkat lans koperal di Balai Polis Slim River, Perak dibawa ke lokasi kejadian untuk membuat pengesahan beberapa barang milik mangsa termasuk telefon pintar.

Unit skuba dan sub akuatik forensik PDRM menemui telefon pintar dipercayai milik mangsa di lokasi kawasan ladang kelapa sawit susulan penemuan mayat Nur Farah Kartini Abdullah di Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 17 JULAI 2024.

Sebelum itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 9.30 pagi, manakala Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula jam 9.55 pagi tadi.

Proses mengesan bahan bukti yang memasuki hari kedua itu, antara lain turut menggunakan alat pengesan logam dan pam air.

Ditanya tentang sejauh mana proses pencarian itu akan berakhir, beliau berkata, usaha itu akan diteruskan sehingga pihaknya berpuas hati.

“Pagi ini kita berjaya menemui satu telefon pintar yang dipercayai kepunyaan mangsa untuk bantu dalam siasatan

“Ada lagi kesan bukti sehingga pasukan siasatan berpuas hati dengan semua barang yang ditemui, baru kita akan lepaskan tempat kejadian ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette