AMPANG – Seorang bekas perunding kesihatan hospital swasta didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menceroboh bilik bedah Hospital Ampang untuk mengambil ubat pada awal pagi 9 Julai lalu.
Tertuduh, 33, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Normaizan Rahim
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah didakwa atas Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan denda sebanyak RM5,000 dan dihukum penjara selama tiga tahun jika disabitkan kesalahan.
Peguam, Ungku Ikram Attari yang mewakili tertuduh merayu hukuman terhadap anak guamnya diringankan kerana mempunyai rekod rawatan psikiatri.
“Tertuduh juga sedang mendapatkan rawatan kerana menghidap kemurungan, gangguan personaliti ganda (Multiple Personality Disorder) dan skizofrenia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak 2019.
“Selain itu, tertuduh yang berada dalam pemantauan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) telah kehilangan kerja serta perlu menanggung keluarga.
“Semasa dalam tahanan reman selama empat hari, tertuduh juga sudah mengambil pengajaran dan tidak lagi mengulangi kesilapan itu,” katanya.
Rayuan lanjut turut menyatakan semua ubat yang diambil dari bilik bedah itu telah dipulangkan semula.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Peh Fong Xi membantah permohonan bon berkelakuan baik kerana semasa kejadian tertuduh mengenakan pakaian bilik bedah.
“Pihak pendakwaan memohon hukuman yang setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh selain mengambil kira faktor kepentingan awam,” katanya. – MalaysiaGazette