KUALA LUMPUR – Sebuah bengkel kereta musnah dalam kebakaran di Jalan Gurney Kiri, Kampung Semarak, Kuala Lumpur, awal pagi tadi.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I, Jayamohan a/l Muniandy berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 2.17 pagi.
Katanya, dalam kejadian itu, bangunan yang berkeluasan 20×80 kaki itu hangus terbakar kira-kira 80 peratus.
“Kebakaran itu juga melibatkan tiga buah kenderaan iaitu Toyota Unser, Proton Saga dan Daihatsu Charade yang juga telah terbakar sehinggga 80 peratus. Namun, tiada mangsa dilaporkan terlibat,” katanya.
Seramai 27 anggota bomba daripada tiga buah balai berhampiran iaitu balai Bomba dan penyelamat (BBP) Titiwangsa, Jalan Hang Tuah dan Jalan Tun Razak telah dikejarkan ke lokasi.
Kebakaran dapat dikawal pada jam 2.51 pagi dan dipadamkan sepenuhnya pada jam 3.56 pagi. – MalaysiaGazette