Tuan Ibrahim Tuan Man. Foto MOHD ADZLAN, 23 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa mempertimbangkan penyelesaian secara menyeluruh dalam membantu mengimbangi keperluan kewangan rakyat seterusnya membantu mereka berdepan peningkatan kos sara hidup.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, antara langkah yang boleh dipertimbangkan adalah menetapkan kadar gaji pekerja yang lebih baik.

Selain itu, kata Ahli Parlimen Kubang Kerian berkenaan, kerajaan juga perlu meningkatkan kawalan dan penguatkuasaan aktiviti jual beli di pasaran yang melibatkan persaingan tidak adil serta membasmi aktiviti penyeludupan yang tinggi.

Tegas beliau, langkah itu bagi memastikan majoriti rakyat tidak terus menjadi `kambing hitam’ demi menyelamatkan periuk nasi individu atau parti tertentu.

“Hakikatnya, rakyat Malaysia kini berhadapan dengan peningkatan kos sara hidup yang signifikan.

“Kenaikan inflasi yang dijangka meningkat antara tiga hingga 3.5 peratus merupakan antara penyumbang kepada masalah ini.

“Peningkatan dari hanya 1.8 peratus pada April 2024 tidak seiring dengan kadar gaji dan upah menyebabkan banyak keluarga dalam keadaan sukar,” katanya dalam hantaran di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Ujar beliau, pengeluaran yang dibuat oleh ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM7.81 bilion menerusi Akaun Fleksibel menunjukkan rakyat sangat memerlukan bantuan kewangan segera untuk meneruskan kehidupan.

Sehubungan itu, katanya, peranan kerajaan membantu rakyat buat masa ini sangat penting dan dalam masa sama kempen menggalakkan pengurusan kewangan yang baik secara intensif dan pemantauan berkala terhadap ahli KWSP juga perlu dibuat.

“Ini bukan hanya untuk kelegaan segera tetapi juga tentang kestabilan masa depan.

“Kita perlu pastikan setiap langkah yang diambil tidak hanya menyelesaikan masalah hari ini, tetapi juga tidak mencipta masalah baharu di masa depan,” katanya. – MalaysiaGazette