Salah seorang individu yang disiasat SKMM.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat empat lagi suspek berhubung komen jelik dan provokatif menerusi siaran ulangan sesi Parlimen yang dimuat naik di platform TikTok dan Facebook pada 9 Julai 2024.

Sesi rakaman percakapan terhadap empat suspek itu dilakukan di empat lokasi berasingan iaitu di Rawang, Selangor; Sungai Petani, Kedah; Butterworth, Pulau Pinang dan Kangar, Perlis setelah aduan diterima daripada orang awam.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan individu yang telah disiasat seramai enam orang.

Tindakan ini adalah untuk membendung gejala buli siber yang berleluasa dalam kalangan masyarakat, katanya.

Pegawai SKMM sedang menyiasat seorang wanita.

Dalam operasi yang dijalankan, SKMM berkata, kad sim dan telefon pintar milik keempat-empat suspek yang digunakan untuk memuat naik komen jelik itu telah disita bagi membantu siasatan.

Terdahulu, SKMM telah menyerahkan Notis Kehadiran kepada kesemua suspek mengikut prosedur yang ditetapkan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Antara suspek yang dirakam keterangan oleh pegawai SKMM.

Seksyen itu melarang pembuatan atau penghantaran komunikasi yang antara lain bersifat jelik, lucah atau sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu orang lain.

SKMM mengingatkan orang ramai untuk tidak menggunakan perkhidmatan rangkaian dan aplikasi dalam talian untuk membuat sebarang hantaran dan komen yang bertentangan dengan undang-undang negara.

Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang menyalahgunakan platform dalam talian dan telekomunikasi, rangkaian atau kemudahan dalam talian yang menganggu-gugat keharmonian sosial. – MalaysiaGazette