Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin

KUALA LUMPUR – Kemasukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis ke Pas disifatkan sebagai gerakan politik baharu yang merupakan hipokrasi tertinggi parti itu.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa tindakan Muhamad Jailani itu tidak perlu mengosongkan kerusinya juga merupakan satu kenyataan yang memperoleh laba politik kepada parti itu.

“Saya sangat kecewa melihat para ulama jadian Pas terkinja-kinja gembira sambil mengucapkan tahniah meraikan lakonan dan hipokrasi tertinggi politik Melayu-Islam mereka.

“Hakikatnya pembangkang sudah terperangkap dengan gerakan scheme of things yang sudah dirangcang daripada mula.

“Bermula dengan gerakan mahu menyediakan perjanjian pintu belakang sebaik sahaja selepas PRU yang lalu menggunakan kelompongan akta yang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shaiful Hazizy merujuk kepada kenyataan Takiyuddin yang berkata, Muhamad Jailani menyertai Pas sebelum undang-undang antilompat parti diluluskan DUN Melaka pada 31 Julai 2023.

Semalam, di Parlimen Takiyuddin berkata, Muhamad Jailani tidak perlu mengosongkan kerusi memandangkan kedudukannya sebagai ADUN Rembia tidak tergugur kerana penyertaan ke dalam Pas dibuat sebelum pindaan Perlembagaan Melaka dilakukan.

Dalam pada itu, Shaiful Hazizy mencabar Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk memberikan penjelasan dan respon mereka terhadap tindakan tersebut.

“UMNO Kedah mohon agar kerajaan dengan segera menoktahkan kemelut politik yang sama sekali tidak rakyat ini. Rakyat sudah letih dan mual “akrobatik politik” yang sudah tentunya akan menyusahkan rakyat.

“Pilihanraya kecil demi pilihanraya kecil sudah tentunya menganggu agenda kerajaan yang mahu kembali meletakkan negara ini kembali ke landasan sebenarnya,” katanya.

Muhamad Jailani menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) atas tiket PKR dan beliau antara empat ADUN Pakatan Harapan (PH) yang melompat menyokong Barisan Nasional (BN) bagi mengambil alih pentadbiran negeri pada Mac 2020.

Beliau dikatakan dipecat PKR, sebelum mengumumkan menyertai UMNO bagi membolehkan dipilih bertanding semula mewakili BN pada PRN 20 November 2021.

Isu timbul apabila Muhamad Jailani dilapor hadir pada majlis pengumuman calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di Bakri, Johor.

Beliau mempertahan tindakannya dengan menegaskan kehadiran di majlis itu bukan atas kapasiti sebagai ADUN UMNO, sebaliknya mewakili pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Muafakat Nasional (MN) yang diterajui bekas Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa.

Pada PRU15 beliau turut menyertai perarakan pada proses penamaan calon Pas Parlimen Ketereh di Kelantan.

Rentetan itu, Lembaga Disiplin UMNO pada September lalu, mengesyorkan keahlian Muhammad Jailani digantung selama enam tahun. – MalaysiaGazette