Abang mangsa, Farizza Azmi Abdullah bercakap pada media ketika hadir di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh. Foto SYADILA AMARI, 16 JULAI 2024.

SUNGAI BULOH – Ibu kepada Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah dilaporkan membuat ujian DNA (asid deoksiribonukleik) di Hospital Kuala Kubu Bharu (KKB), hari ini.

Perkara itu disahkan oleh abang mangsa, Mohd Farriza Amir Abdullah, 28, ketika dihubungi sebentar tadi.

Difahamkan, urusan menuntut jenazah akan dilakukan sebaik sahaja proses pengambilan sampel DNA ibu mangsa di Hospital KKB, selesai.

Menurutnya, pihak keluarga mahu menyelesaikan dahulu urusan pengambilan sampel DNA.

“Saya tak pasti lagi jam berapa boleh datang ke Jabatan Perubatan Forensik (Hospital Sungai Buloh) untuk tuntut jenazah.

“Kami perlu selsaikan perkara ini dahulu (urusan pengambilan sampel DNA ibu) di Hospital Kuala Kubu Bharu sebelum tuntut jenazah”, katanya.

Mohd Farriza Amir memaklumkan jenazah Nur Farah Kartini akan dikebumikan di Pekan, Pahang, namun tidak berkongsi lebih lanjut berhubung perkara itu.

“Saya akan kongsikan kepada media sebaik tiba di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh (HSB) nanti,” ujarnya.

Sehingga jam 1 petang tadi, tiada kelibat ahli keluarga mahupun waris terdekat hadir ke Jabatan Perubatan Forensik HSB dan beberapa pengamal media masih lagi menunggu di sini sejak 7 pagi lagi.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan mayat Nur Farah Kartini yang hilang sejak 10 Julai lalu di kawasan ladang kelapa sawit, Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor ditemui hampir reput.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mayat wanita itu ditemui sekitar jam 6 petang, pada Isnin lalu.

Susulan itu, polis bertindak menahan seorang lelaki yang juga anggota polis berpangkat Lans Koperal bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Suspek berusia 26 tahun itu kemudian direman tujuh hari sehingga 22 Julai depan bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette