Unit skuba dan sub akuatik forensik PDRM melakukan pencarian bahan bukti di lokasi kawasan ladang kelapa sawit susulan penemuan mayat Nur Farah Kartini Abdullah di Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 17 JULAI 2024.

SUNGAI BULOH – Pengamal media disarankan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh melangkaui siasatan pihak polis.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ia termasuk mengaitkannya dengan mana-mana kes yang dalam siasatan polis.

“Kenyataan dikeluarkan susulan terdapat pelbagai spekulasi yang tidak benar telah dikeluarkan sehingga menimbulkan kekeliruan.

“Ia berhubung penemuaan mayat seorang perempuan pada 15 Julai lalu di ladang kelapa sawit, Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Hussein, antara yang dilakukan seperti penyiaran gambar boleh menganggu siasatan pihak berkuasa itu.

“Tindakan boleh dikenakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana perkongsian atau penyebaran maklumat palsu, jelik dan mengancam.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.

Sejak semalam, terdapat pelbagai spekulasi yang tular di media sosial berkait kematian Nur Farah Kartini yang hilang sejak 10 Julai lalu.

Hussein memaklumkan, mayat mangsa ditemui hampir remput di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor kira-kira jam 6 petang  15 Julai lalu.

Susulan itu, seorang lelaki berusia 26 tahun yang merupakan anggota polis berpangkat Lans Koperal direman tujuh hari sehingga 22 Julai bagi siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette