Keputusan DNA disahkan jenazah Nur Farah Kartini Abdullah, kata KP Selangor

SUNGAI BULOH – Jenazah Nur Farah Kartini Abdullah, 25, yang ditemui mati di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor tidak dituntut waris hari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan yang mengesahkan perkara itu berkata, proses tuntutan jenazah terbabit hanya dilakukan selepas ujian DNA (asid deoksiribonukleik) selesai.

“Tidak (tuntut jenazah hari ini). Perlu tunggu keputusan DNA dan mungkin akan mengambil masa beberapa hari,” katanya secara ringkas menerusi hantaran Whatsapp hari ini.

Perkara itu turut diakui abang mangsa, Mohd Farriza Amir Abdullah, 28, yang memaklumkan pihaknya hanya perlu menunggu keputusan DNA sebelum dibenarkan menuntut jenazah.

Terdahulu, mayat Nur Farah Kartini yang hilang sejak 10 Julai lalu di kawasan ladang kelapa sawit, Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor ditemui hampir reput.

Hussein berkata, mayat graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu ditemui kira-kira jam 6 petang, pada Isnin lalu.

Rentetan itu, polis bertindak menahan seorang lelaki yang juga anggota polis berpangkat Lans Koperal bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Suspek berusia 26 tahun itu direman tujuh hari sehingga 22 Julai depan bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette