Mohamed Khaled (tengah) menyampaikan sumbangan dalam Program Jiwa Murni Kementah Peringkat Negeri Johor di Kampung Bukit Sedili Besar, Kota Tinggi hari ini

KOTA TINGGI – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tiada masalah untuk memberi kerjasama sekiranya dipanggil Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk hadir prosiding Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang yang djadual pada Ogos ini.

Bagaimanapun beliau memaklumkan setakat ini masih belum menerima sebarang makluman atau undangan berhubung perkara terbabit.

“Kalau saya ada terima undangan Insya-Allah saya akan hadir, setakat ini saya tidak terima apa-apa. Saya tiada masalah (untuk hadir ke prosiding),” katanya.

Ahli Parlimen Kota Tinggi itu berkata demikian pada sidang media selepas Program Jiwa Murni Kementah Peringkat Negeri Johor di Kampung Bukit Sedili Besar di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, setakat ini, perkembangan LTAT berjalan dengan baik dan sedang membuat keuntungan.

Beliau percaya semua syarikat di bawah lembaga berkenaan berada pada landasan yang betul.

“Kita semua berjalan dengan baik, mana yang buat untung, buat untung. Tempoh hari, Pharmaniaga telah umumkan keuntungannya, Insya-Allah lain-lain syarikat di bawah LTAT saya percaya berada pada landasan yang betul, tak perlu untuk dijual.

“Tetapi melalui usaha mereka sendiri mereka mampu untuk memastikan syarikat dalam keadaan yang baik boleh buat untung,” katanya.

Jelasnya, keuntungan berkenaan boleh diumumkan yang akan memberi manfaat kepada LTAT.

“Dengan demikian LTAT terjamin untuk mengumumkan dividen bagi anggota tentera yang memang LTAT sebagai tempat simpanan duit mereka sebagai tabung simpanan pencen mereka,” katanya.

Semalam, Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dilaporkan berkata, akan memanggil Mohamed Khaled ke prosiding LTAT yang seterusnya pada Ogos ini.

Mas Ermieyati juga dilapor berkata, Mohamed Khaled akan menyertai tiga bekas ahli pengurusan tertinggi LTAT sebagai saksi pada prosiding itu nanti.

Beliau berkata, mereka adalah bekas Pengerusi LTAT, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raha Mohamed Noor; bekas Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman; dan bekas Pengarah Kanan Strategi LTAT, Dayana Rogayah Omar.

Prosiding LTAT dijadualkan disambung pada 7 Ogos ini selepas PAC mengadakan prosiding pertama pada 20 Jun lalu.

Sebelum ini, PAC menyatakan akan memanggil tiga bekas ahli pengurusan tertinggi LTAT bagi memberi penjelasan berhubung pendedahan rizab kewangan agensi itu yang negatif sebagaimana dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), Mac lalu.

Mac lalu, LKAN mendedahkan LTAT tidak membuat penjelasan nilai terhadap pelaburan dalam syarikat subsidiari berjumlah RM812 juta membabitkan Boustead Holdings Berhad berjumlah RM768 juta dan Pharmaniaga Berhad berjumlah RM44 juta. – MalaysiaGazette