Gambar hiasan

BUKIT MERTAJAM – Tindakan berani pemilik sebuah kilang memproses rempah ratus di Permatang Tinggi di sini yang mengaut keuntungan dengan menggunakan sijil halal  tamat tempoh lapan tahun lalu membawa padah selepas premisnya diserbu pihak berkuasa hari ini.

Serbuan selama lima jam yang berakhir pukul 4 petang tadi dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).

Pengarah KPDN negeri, S. Jegan berkata, serbuan dibuat hasil daripada pemantauan yang dibuat oleh pihaknya dan JHEAIPP sebelum ini.

S.Jegan.

Jelas beliau, hasil siasatan mendapati sijil halal yang dikeluarkan untuk pemilik kilang rempah ratus itu telah tamat pada 31 Mac 2016.

“Berdasarkan pemeriksaan kita, pemilik kilang itu mempunyai sijil halal pada 2012 namun atas beberapa faktor termasuk menempatkan penjualan barangan sembahyang di kilang sama dikatakan sijil tersebut gagal diperbaharui.

“Bagaimanapun, pemilik berkenaan dikatakan sengaja menggunakan pembungkusan mengandungi logo halal sedangkan dia mempunyai pilihan untuk menjual rempah tersebut tanpa logo halal.

“Penyalahgunaan logo halal dan sijil halal berkenaan boleh mengelirukan pengguna terutama bagi pelanggan beragama Islam,”katanya di lokasi serbuan hari ini.

Rempah ratus yang dihasilkan dijual untuk pasaran Pulau Pinang.

Tambah Jegan, dalam serbuan itu pihaknya turut merampas 2,498 paket pelbagai jenis rempah mengandungi logo halal pada pembungkusannya yang dianggarkan bernilai RM12,490.

“Siasatan dilakukan mengikut Perenggan 8 Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan jika sabit kesalahan pemilik premis boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu manakala hukuman bagi pertuduhan perbadanan adalah denda RM250,000,” katanya.

Pemilik kilang berkenaan dikatakan turut menjalankan perniagaan menjual barangan sembahyang yang mana ia ditempatkan sekali dalam kilang rempah tersebut.

Mengulas lanjut Jegan turut mengingatkan peniaga supaya tidak menggunakan logo halal, sijil halal atau sebarang perakuan tanpa perakuan Jakim.

“Ia hanya boleh digunakan atau dipamerkan pemegang sijil halal sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette