Zulkiple terlepas hukuman gantung atas kesalahan membunuh kekasihnya dan digantikan dengan 38 tahun penjara dan 12 sebatan di Mahkamah Persekutuan yang bersidang di Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Mahkamah Persekutuan yang bersidang, di sini, hari ini mengetepikan hukuman gantung terhadap seorang lelaki yang memukul seorang wanita warga emas menggunakan kayu besbol dan merogolnya ketika nazak sebelum dibiarkan mati.

Mahkamah Persekutuan mengetepikan hukuman terhadap Zulkiple Mohamad, 45, dan menggantikan dengan hukuman penjara 38 tahun dan 12 sebatan.

Hukuman itu diperintahkan panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah.

Timbalan Pendakwa Raya, Ng Siew Wee berkata, Zulkiple telah memasuki kediaman mangsa melalui siling sebelum memukul bahagian kepalanya menggunakan sebatang kayu besbol.

“Ketika mangsa sedang nyawa-nyawa ikan, pemohon telah merogol mangsa dengan kesan kecederaan di bahagian kemaluan mangsa mendapati kejadian itu berlaku sebelum mangsa mati,” katanya.

Sementara itu, peguam Zulkiple iaitu Mohd Radzi Yatiman berkata, Zulkiple tidak berniat untuk membunuh mangsa ketika memasuki kediaman itu.

“Kayu besbol yang digunakan bukan dibawa olehnya, sebaliknya ditemukan di kediaman mangsa membuktikan dia tidak berniat untuk membunuh mangsa daripada awal.

“Selain itu, dia juga telah memberi kerjasama penuh sepanjang perbicaraan kes ini berlangsung. Pemohon telah insaf dan menyertai pelbagai kursus sepanjang dipenjarakan,” katanya.

Barisan panel tiga hakim itu kemudian bersetuju menggantikan hukuman mati yang dijatuhkan terhadap pemohon sebelum ini kepada penjara dan sebatan bermula tarikh tangkap iaitu pada 21 Jun 2014. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast