KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan mengaji bidang berkaitan gaming menjadi salah satu kursus yang ditawarkan dalam program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di institusi pendididkannya.
Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau telah menerima banyak pandangan agar bidang tersebut dijadikan kursus TVET.
“Ramai anak-anak muda bagi pandangan supaya gaming juga dijadikan salah satu kursus TVET kerana industri ini besar. Saya sudah minta bahagian Pendidikan Teknikal TVET MARA mengkajinya. Apa pandangan?” katanya dalam satu kenyataan ringkas di Facebook.
Sementara itu dalam reaksi yang diterima di ruang komen, rata-rata pengikut media sosial Asyraf Wajdi bersetuju dengan cadangan tersebut.
Menurut salah seorang daripadanya, Azrul Suhai, bidang tersebut membuka pelbagai peluang pekerjaan lain berkaitan teknologi.
“Kini di Malaysia telah develop banyak kumpulan e-Sport sama ada di peringkat profesional mahu pun semi profesional. Pendapatan mereka lebih tinggi berbanding pemain bola liga super. Dari segi kerjaya bukan sahaja mereka menjadi gamers tapi mereka boleh menjadi jurulatih gamers, pengawai teknikal, psychologis and pakar teknologi maklumat.
“Ini satu bisness besar yang ramai tidak tahu kerana kebanyakan gamers mempunyai follower yang ramai dalam media social dan mereka boleh menjadi duta produk, juga buat live streaming game dengan penonton yang beratus ribu.
“Dengan cara itu mereka dapat memperolehi pendapatan dari media social. Apa pun tahniah kepada team Selangor Red Giant yang menjuarai World Mobile Legend di Riyadh dengan membawa pulang RM4.7 juta,” kata beliau.
Ramai juga yang membetulkan salah faham kononnya kursus ‘gaming’ hanya hanya berkaitan kemahiran bermain permainan video.
“Mungkin (berkaitan) pembinaan game meliputi coding, software, mekanik game boleh diterapkan dalam TVET. Mungkin ada yang salah faham bila cadangan gaming bermaksud pelajar main game sahaja. Bukan macam tu,” kata Mohammad Fairuz.
“Industri gaming ini bermaksud bukan sekadar untuk main game. Tapi untuk jadi graphic designer, animation, story creator dan lain-lain yang diperlukan. Kadang kala console atau alat kawalan untuk bermain pun boleh jadi satu industri atau perusahaan baru. Sebab Singapura sendiri pun boleh keluarkan mouse gaming, keyboard gaming dengan harga lebih berpatutan,” komen Hafiz Mat.
“Ramai akan mohon jurusan ini. Kalau ada tempat mereka apa salahnya. Dulu kita pandang orang main kapal terbang remote sebagai hobi. Sekarang dia orang ambil lesen drone sudah jadi kerjaya. Kita tak tahu apa lagi teknologi akan datang,” kata Mohammed Fareed Rafiz. – MalaysiaGazette