KUALA LUMPUR – Perbadangan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) menganjurkan Kempen myPTPTN Mudah, Cepat & Selamat bagi menggalakkan peminjam membuat bayaran balik melalui saluran tanpa tunai.

Inisiatif itu sekaligus dapat mendidik orang ramai mengenai kelebihan bayaran tanpa tunai yang lebih cepat, mudah dan selamat melalui aplikasi myPTPTN.

Ia juga sejajar dengan usaha PTPTN yang sentiasa melaksanakan inisiatif bersepadu dan mempelbagaikan pendekatan mesra pelanggan dalam membantu serta memudahkan peminjam membuat bayaran balik pinjaman menerusi kempen yang memberi manfaat istimewa kepada peminjam.

PTPTN dalam satu kenyataan berkata, kempen ini terbuka kepada semua peminjam PTPTN yang menggunakan aplikasi myPTPTN dan hadiah lumayan iaitu wang tunai berjumlah RM120,000 untuk 120 pemenang.

“Setiap pemenang akan menerima hadiah berjumlah RM1,000 dalam bentuk bayaran balik pinjaman PTPTN. Tempoh kempen adalah selama tiga bulan mulai 1 Julai 2024 sehingga 30 September 2024,” katanya.

Menurut PTPTN, peminjam hanya perlu membuat bayaran balik dengan nilai minimum RM100 dalam tempoh kempen untuk melayakkan peminjam mendapat 10 cabutan dan penyertaan adalah secara automatik.

Selain itu, pengguna myPTPTN yang baharu mendaftar dalam tempoh kempen layak mendapat 20 cabutan.

Menurut Ketua Eksekutif PTPTN, Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, sebagai peneraju tabung pendidikan tinggi negara, PTPTN akan terus komited dalam agenda pendigitalan untuk memastikan pelanggan menerima perkhidmatan yang terbaik.

“Kempen myPTPTN Mudah, Cepat & Selamat adalah kempen untuk menggalakkan lebih ramai peminjam melaksanakan tanggungjawab mereka agar kesinambungan pinjaman PTPTN dapat diteruskan untuk generasi akan datang.

“Selain itu, melalui kempen ini juga peminjam PTPTN yang memenangi hadiah wang tunai akan menerima tambahan kewangan yang secara tidak langsung membantu mereka membayar balik pinjaman,” ujar beliau lagi.

PTPTN berharap dengan penganjuran kempen ini akan meningkatkan kesedaran peminjam untuk membuat bayaran balik secara konsisten melalui aplikasi myPTPTN.

Untuk maklumat lanjut mengenai kempen myPTPTN Mudah, Cepat & Selamat layari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my atau muat turun aplikasi myPTPTN untuk mendapatkan notifikasi dan perkhidmatan PTPTN pada bila-bila dan di mana sahaja dengan lebih mudah, cepat dan selamat.