Unit Forensik PDRM bersama anggota Bomba dan Penyelamat tiba di lokasi kawasan ladang kelapa sawit bagi mencari bahan bukti susulan penemuan mayat Nur Farah Kartini Abdullah di Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 17 JULAI 2024.

HULU SELANGOR – Alat pengesan logam dan pam air antara peralatan yang digunakan pihak berkuasa pada hari kedua proses mengesan bahan bukti di lokasi penemuan mayat Nur Farah Kartini Abdullah di Kampung Sri Kledang, di sini, hari ini.

Seawal jam 9.30 pagi tadi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tiba di lokasi kejadian, manakala Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) jam 9.55 pagi tadi.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, JBPM menggerakkan sebuah jentera pemadam dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Manakala Unit Forensik PDRM pula menggerakkan tiga kenderaan pacuan empat roda.

Semalam, media melaporkan PDRM akan menggerakkan unit skuba serta Unit Anjing Pengesan (K9) ke lokasi kejadian bagi mengesan bahan bukti.

Isnin lalu, media melaporkan suspek ditahan susulan penemuan mayat mangsa di ladang sawit Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor, pada jam 6 petang.

Suspek ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Nur Farah Kartini yang dilaporkan hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan ditemukan mati dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya. – MalaysiaGazette