KULIM – Pekerja kebun durian warga Myanmar ditemui mati dibunuh dengan kesan tikaman objek tajam di bahagian belakang badan di dalam kebun buah itu di Jalan Kulim Junjong di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Azizul Mohd Khairi berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mangsa warga Myanmar berusia 36 tahun itu pada jam 9 pagi.
“Mangsa ditemui terbaring di tepi pondok yang terletak di lereng bukit dengan tiga kesan tikaman objek tajam di belakang badan.
“Siasatan lanjut mendapati, mangsa tinggal bersama dua lagi rakan senegaranya di sebuah pondok atas bukit di kebun itu.
“Kita tidak menolak kemungkinan serangan itu dilakukan dua rakannya pada waktu malam Ahad lalu.
“Kedua-dua rakan mangsa juga telah menghilangkan diri dan pihak polis kini sedang giat memburu mereka,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, Mohd Azizul meminta kerjasama orang ramai membantu dan menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan kes tersebut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat Asisten Superintendan Mohd Fakruzi Ismail di talian 019 7204 939,” katanya. – MalaysiaGazette