Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Risikan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama lebih enam bulan mendedahkan pelbagai kegiatan haram di bandar-bandar besar ini dilindungi oleh pihak berkuasa.

Ia melibatkan perniagaan berskala kecil seperti lesen penjaja dan kedai-kedai yang kini dimonopoli oleh warga asing.

Disebabkan itu, premis-premis perniagaan yang dijalankan warga asing kian bertambah walaupun pelbagai tindakan penguatkuasaan dijalankan oleh pihak berkuasa namun ia seakan-akan tidak memberi kesan.

Penguat kuasa seolah-olah dilihat bermain wayang dan tidak bersungguh-sungguh dalam tindakan – adakalanya bertindak mengikut musim dan berdiam sahaja di beberapa kawasan tertentu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, menerusi risikan dijalankan ini juga, SPRM mendapati ada pemilik lesen warga tempatan yang menyewakan tapak dan lesen perniagaan mereka kepada warga asing.

Ahmad Khusairi Yahaya

Manakala penguat kuasa pula ditawarkan suapan rasuah secara bulanan bagi melindungi dan tidak mengambil tindakan ke atas premis yang menggunakan ‘Lesen Ali Baba’ ini.

Mengambil contoh Pasar Kuala Lumpur, katanya, biarpun tindakan penguatkuasaan telah dibuat beberapa kali, namun warga asing tetap memonopoli kawasan terbabit.

“Semuanya kerana ada tangan-tangan ghaib yang melindungi dan membocorkan maklumat-maklumat operasi kepada mereka.

“SPRM menjalankan risikan sulit ini bagi mendedahkan penglibatan penguat kuasa dalam melindungi aktiviti penjaja haram ini di sekitar ibu negara,” katanya.

Ahmad Khusairi Yahaya berkata, pendedahan mengenai isu pemberian dan penerimaan rasuah melibatkan pemilik premis kepada penguat kuasa ini dibuat menerusi dua operasi khas di dua lokasi sekitar Kuala Lumpur.

Operasi ini akan menjadi kajian kes untuk membuktikan kepada pihak-pihak bertanggungjawab wujud amalan rasuah dan perlindungan dalam aktiviti peniaga haram ini.

Menurutnya, SPRM mempunyai kekuatan dan bajet yang terhad untuk memantau dan bertindak ke atas aktivit-aktiviti haram yang berlaku.

Namun, diharapkan melalui pendedahan seumpama ini, pihak berkuasa khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil langkah drastik dan serius dalam membendung aktiviti-aktiviti penjaja yang dikuasai oleh warga asing di bandar-bandar utama.

Jelasnya, SPRM akan menahan berbelas orang termasuk warga asing, pemegang lesen warga tempatan dan anggota-anggota penguatkuasa yang terlibat dalam kegiatan melindungi aktiviti ini. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. 100 peratus sokong SPRM untuk membendung kegiatan manusia durjana, pengkhianat bangsa dan negara. Tangkap dan humban mereka yg tidak amanah terhadap tugas dan tanggungjawab. Seharusnya gerakan ini dibuat tanpa memilih bulu dan kedudukan , jgn sekadar bertindak keatas ikan bilis dan jerung jerung terlepas.

Comments are closed.