KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan akan bertemu keluarga Teoh Beng Hock pada minggu depan.
Perdana Menteri berkata, ia berikutan kekangan waktu sepanjang minggu ini berikutan beberapa program seperti Mesyuarat Majlis Raja-Raja dan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong.
“Saya akan berjumpa keluarga Teoh Beng Hock minggu depan selepas Mesyuarat Majlis Raja-Raja dan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian National Bioeconomy Showcase 2024 (NBiOSHOWCASE 2024) di Pusat Dagangan Putra di sini hari ini.
Beliau ditanya sama ada sudah mengatur pertemuan dengan keluarga Beng Hock selepas memberi jaminan akan bertemu dengan keluarga mendiang Beng Hock dalam masa terdekat ini, kelmarin.
Ia berikutan insiden sekumpulan aktivis yang menuntut keadilan atas kematian mendiang Beng Hock disekat daripada menghampiri bangunan Parlimen untuk menyerahkan memorandum tuntutan.
Menerusi lapotan media itu, polis dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) membuat rantaian manusia bagi kira-kira 100 meter sebelum pagar Parlimen pada Isnin lalu.
Laporan menyebut, Persatuan Teoh Beng Hock Untuk Kemajuan Demokrasi asalnya mahu menyerahkan memorandum di pagar mahkamah, namun mereka diberitahu supaya mendapatkan kebenaran kerajaan terlebih dahulu.
Semalam, seorang Ahli Parlimen kerajaan mengemukakan dua usul bertulis kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memohon perbahasan segera mengenai perkara berkaitan mendiang Beng Hock.
Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui berkata, usul yang dikemukakan di bawah Peraturan Mesyuarat 18(2) mewakili perkara kepentingan awam yang mesti disegerakan.
Secara khusus, beliau memetik jawapan bertulis Kementerian Dalam Negeri bertarikh 2 Julai lalu yang menyatakan siasatan terhadap kematian Teoh telah dibuka semula tetapi diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana pengurungan yang salah.
“Keluarga mendiang Teoh Beng Hock cuma minta pembunuhnya mesti disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (untuk membunuh),” kata Ahli Parlimen DAP itu pada sidang media di Parlimen.
Sementara itu, mendiang Beng Hock ditemui meninggal dunia pada 16 Julai 2009 di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tingkat 14 bangunan sama. – MalaysiaGazette