Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari. Foto FAREEZ FADZIL, 07 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Dua lagi individu, termasuk pegawai polis wanita berpangkat Inspektor yang ditahan kerja baru-baru ini, akan dipanggil untuk dirakam keterangan berhubung isu buli siber terhadap pempengaruh, Rajeswary Appahu atau Esha.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, polis juga akan merakam keterangan daripada seorang ahli perniagaan susulan laporan yang dilakukan ibu Rajeswary, Puspa P Rajagopal pada Jumaat lepas.

“Ia adalah untuk melengkapkan siasatan kita,” katanya kepada media, hari ini.

Pada 5 Julai lalu, Esha ditemui mati sehari selepas membuat laporan ugutan jenayah dan fitnah terhadap dirinya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Susulan itu, dua akaun TikTok di bawah penama @DulalBrothers dan @Alphaquinnsha disiasat polis dipercayai menggunakan gambar Rajeswary (Esha) sebagai latar belakang kandungan video yang telah dimuat naik ke akaun masing-masing.

Kandungan tersebut didapati mengandungi ugutan dan menggunakan kata-kata kesat serta lucah kepada mangsa.

Semalam dua individu yang dikaitkan dengan dua akaun TikTok terbabit didakwa di Mahkamah Sysyen dan Majistret dan pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955. -MalaysiaGazette