HULU SELANGOR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan pengamal media agar tidak membuat spekulasi dan tafsiran sendiri dalam laporan berita.
Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, ia boleh menjejaskan siasatan pihak polis terutamanya melibatkan kes berprofil tinggi.
“Saya nak beri peringatan kepada media, jangan melangkaui siasatan.
“Macam perkataan cekik dan sebagainya, polis tak pernah keluar kenyataan macam itu.
“Tak boleh buat spekulasi, jangan langkaui polis kerana mengganggu siasatan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu sebuah portal menggunakan tajuk laporannya, “Kau Cekik Kawan Aku Sampai Lemas, Rakan Luah Rasa Berang” yang disiarkan, pada Selasa.
Artikel itu dihasilkan berdasarkan reaksi beberapa netizen dipercayai rakan kepada Nur Farah Kartini Abdullah yang ditemui mati di ladang kelapa sawit, Kampung Sri Kledang, di sini, pada Isnin.
Portal itu turut melaporkan, penama (suspek) menunjukkan tempat kejadian di mana penama mengatakan ‘inilah Farah yang saya cekik sehingga lemas’.
Turut dilaporkan portal itu, terdapat satu mayat dalam keadaan terlungkup yang masih berpakaian berada di dalam lopak air dan telah membusuk.
Dalam pada itu, Hussein juga mengingatkan pengamal media agar lebih berhemah dan profesional sebelum melaporkan sesuatu berita.
“Media perlu berhemah dalam melaporkan sebarang berita.
“Seperti Ketua Polis Negara tegaskan, siasatan ini akan dijalankan secara terperinci.
“Siasatan akan diteruskan walaupun melibatkan pegawai atau anggota (polis),” katanya lagi. – MalaysiaGazette