KUALA LUMPUR – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) berharap inisiatif Pakej Rahmah Prabayar Siswa dapat diselaraskan sehingga ke pelbagai peringkat dan institusi pendidikan supaya para pelajar dan guru dapat memanfaatkannya.
Presiden GPMS, Muhd Fazreen Ismadi Fauzi berkata, dengan adanya pakej itu, para pelajar dan pendidik dapat memanfaatkan teknologi digital dengan lebih berkesan seterusnya meningkatkan keupayaan mereka dalam bidang akademik dan kemahiran teknikal.
Sambil meyambut baik inisiatif itu, beliau menambah, ia juga menunjukkan komitmen kerajaan Malaysia Madani dalam membantu meringankan bebanan pelajar yang memerlukan akses internet bagi tujuan pembelajaran.
“Usaha ini bukan sahaja dapat menurunkan bebanan kewangan pelajar, tetapi juga menyokong keperluan mereka untuk mendapatkan maklumat dan bahan pembelajaran secara dalam talian.
“Dalam era digital ini, akses kepada internet adalah penting bagi memperluaskan ilmu pengetahuan dan kemahiran pelajar, terutamanya dalam konteks pendidikan yang semakin digital,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Kelmarin, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengumumkan inisiatif Pakej Rahmah Prabayar Siswa pada harga tidak lebih RM30, dengan minimum permulaan data 30 gigabait (gb) untuk tempoh sah laku selama 180 hari.
Pakej itu khusus untuk golongan pelajar lepasan menengah yang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi latihan kemahiran awam (ILKA) terpilih.
Pakej itu boleh dilanggan mulai 16 Ogos depan menerusi lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi, iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech dan YTL Communications (YES). – MalaysiaGazette