Logo Jabatan Forensik di Hospital SUngai Buloh. Foto SYADILA AMARI, 16 JULAI 2024.

HULU SELANGOR – Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil sampel asid deoksiribonukleik (DNA) daripada ahli keluarga untuk membuat pengecaman mayat Nur Farah Kartini Abdullah.

Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, ia susulan kesukaran pihaknya membuat pengecaman secara visual ketika ini.

“Memandangkan kita ada masalah pengecaman melalui visual, kita akan buat pengecaman forensik,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan seorang anggota berpangkat lans koperal dari Balai Polis Slim River ditahan susulan penemuan mayat mangsa di ladang sawit Kampung Sri Kledang di sini, jam 6 petang, pada Isnin.

Suspek ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Nur Farah Kartini yang dilaporkan hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan ditemukan mati dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya.

Hussein juga berkata, ujian DNA itu perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum mayat Nur Farah Kartini diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

“Kita akan ambil sampel daripada ibu dan adik-beradik untuk buat pengecaman sebelum mayat diserah kepada ahli keluarga,” katanya.

Ketika ditanya mengenai keputusan ujian DNA, beliau berkata, ia bergantung kepada Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh dan makmal.

“Ini bergantung kepada keputusan DNA, Jabatan Kimia akan lakukan.

“Saya rasa tak boleh hari ini, mengambil beberapa hari lagi sebab ia melibatkan jenazah dan kita minta Jabatan Kimia untuk cepatkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette