APABILA Tan Sri Muyhiddin Yassin menamakan dua individu bagi mengisi jawatan tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) baru-baru ini, ia seolah-olah membenarkan desas-desus wujud pertembungan dalam kem Bersatu sehingga memerlukan campur tangan Presiden.
Selepas pemilihan parti itu pada Oktober ini seperti yang dicadangkan Muhyiddin, Datuk Seri Hamzah Zainuddin akan dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Presiden manakala Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula bakal dilantik Setiausaha Agung.
Pergeseran antara kem Hamzah dengan Mohamed Azmin dalam Bersatu bukan cerita baharu, malah sudah menjadi rahsia terbuka.
Ia menjadi lebih panas menjelang pemilihan parti itu pada Oktober ini.
Beberapa gerakan serta desakan dikhabarkan sudah diatur oleh kem pemimpin Bersatu tertentu untuk merebut jawatan tertinggi dalam kepimpinan parti itu.
Muhyiddin pastinya menyedari gerakan ini dan sebagai pemimpin yang sudah masak dengan permainan politik termasuk ketika bersama UMNO, beliau perlu mengambil tindakan pantas untuk menyelamatkan Bersatu daripada perpecahan dalaman lebih serius.
Ibarat kocak air dalam cawan, jika tidak ditangani segera boleh menjadi badai di lautan.
Walaupun menekankan pertandingan masih boleh berlaku dan sesiapa sahaja boleh mencalonkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung, namun ia kelihatannya tidak mungkin akan berlaku.
Siapa berani melawan ketetapan presiden yang sudah menamakan pilihannya yang juga telah dirunding bersama barisan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT)?
Lebih daripada itu, kedua-dua pemimpin yang dinamakan Muhyiddin itu juga lebih daripada layak untuk mengisi jawatan tersebut.
Hamzah bukan calang-calang pemimpin dan pengalamannya dalam politik dan kerajaan sangat luas. Beliau juga panglima perang Perikatan Nasional (PN) apabila dilantik sebagai Ketua Pembangkang Parlimen.
Sebagai antara individu pengasas Bersatu, Hamzah sememangnya layak secara merit untuk menjadi orang kedua paling penting dalam hierarki kepimpinan Bersatu.
Dapat dilihat juga Hamzah kini sedang dibuka laluan untuk menggantikan Muhyiddin yang sebelum ini sering memberi bayangan mahu berundur sebagai Presiden.
Bagi Mohamed Azmin pula, meskipun beliau bukan kalangan pemimpin yang mengasaskan Bersatu, namun jasanya menarik ahli-ahli PKR untuk menyertai Bersatu tidak boleh dipandang sebelah mata.
Kekuatan Bersatu khususnya di Selangor mungkin tidak seperti ketika ini tanpa pengaruh Mohamed Azmin yang juga bekas Timbalan Presiden PKR.
Tidak keterlaluan dikatakan, sokongan terhadap Mohamed Azmin dalam kalangan bekas ahli PKR jauh mengatasi sokongan kepada sesetengah pemimpin Bersatu yang tidak mempunyai ahli akar umbi.
Pengaruh yang cuba diperluaskan oleh bekas ahli dan pemimpin PKR di dalam Bersatu itu dapat dilihat dengan jelas pada pemilihan parti itu kelak.
Jika tidak ditangani dengan bijak, ia boleh menjadi duri dalam daging dalam kepimpinan Bersatu dan membawa kepada perpecahan dalam parti.
Untuk sebuah parti yang masih boleh dianggap setahun jagung juga, Bersatu perlu berhati-hati supaya tidak dilihat sebagai platform untuk sesetengah pemimpin mengumpul kekayaan dan kekuasaan.
Persepsi seperti itu sudah lama melekat pada UMNO dan menjadi antara sebab mengapa parti itu semakin dijauhi rakyat.
Dengan situasi sokongan rakyat yang kian memuncak terhadap PN ketika ini, jawatan tertinggi Bersatu sudah pasti menjadi perhatian politikus yang oportunis.
Ini kerana berada dalam kepimpinan tertinggi Bersatu bermakna akan berada dalam kepimpinan negara kelak, sekiranya PN berjaya membentuk kerajaan pada pilihan raya umum akan datang.
Realitinya, cabaran yang ada di hadapan Bersatu ketika ini adalah lebih besar berbanding pemilihan parti.
Bersatu perlu memastikan parti itu benar-benar kukuh untuk berdepan beberapa pilihan raya negeri (PRN) antaranya di Sabah yang dijangka awal tahun hadapan.
PRN Johor dan Melaka juga bakal menyusul selepas itu yang pastinya menjadi medan pertempuran politik sangat penting buat Bersatu.
Dalam tempoh yang singkat ini, perpecahan akibat pemilihan parti hanya akan merugikan Bersatu.
Sebagai antara parti tonggak dalam PN juga, Bersatu perlu meyakinkan Pas dan Gerakan yang mana parti itu tidak berdepan masalah dalaman yang boleh menjejaskan peluang PN pada pilihan raya umum akan datang.
Jika Bersatu gagal menangani perpecahan dalaman, dibimbangi Pas dan Gerakan akan menjadikannya alasan untuk mencari pakatan politik baharu. – MalaysiaGazette
Tanding lah tak de telor ke. Masa UMNO sibuk kau suruh tanding. BERSATU parti dayus.