Salah seorang lelaki tempatan yang menyamar sebagai anggota polis dan melakukan samun terhadap dua warga asing di sebuah rumah di Bandar Raya Johor Bahru ditahan semalam

JOHOR BAHRU – Polis menahan dua lelaki yang menyamar sebagai anggota polis dan melakukan samun berkumpulan menggunakan senjata terhadap dua warga asing di sebuah rumah di bandar raya ini, kelmarin.

Dua daripada tiga lelaki yang menyamar sebagai anggota polis itu ditahan semalam selepas melakukan samun berkumpulan menggunakan senjata terhadap dua warga asing terbabit.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 1.15 pagi semasa ketiga-tiga suspek datang ke rumah sewa warga asing terbabit dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

“Kita menerima laporan daripada mangsa terbabit yang merupakan tukang kebun dan ketika kejadian mereka sedang tidur di rumah.

“Pintu rumah mereka kemudian diketuk suspek yang memberitahu mereka adalah polis.
Mangsa membuka pintu dan mendapati ada tiga lelaki bersenjatakan parang.

“Mereka masuk ke rumah dan memukul mangsa sebelum kira-kira 30 minit kemudian meninggalkan lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Lelaki warga tempatan yang ditahan bersama dua yang lain selepas menyamun menggunakan parang, semalam.

Katanya, suspek membawa lari sebuah motosikal, tiga telefon bimbit, wang tunai RM400 dan geran motosikal yang membabitkan kerugian sebanyak RM6,300.

Susulan itu kata Raub, pihaknya melakukan siasatan dan berjaya menjejaki dua daripada tiga suspek berkenaan iaitu dua lelaki tempatan berusia 29 dan 30 tahun.

Jelasnya, mereka ditahan kira-kira pada pukul 11 malam semalam manakala seorang lagi suspek masih bebas.

Menurut Raub lagi, susulan tangkapan yang dibuat, polis menemui semua barang rampasan termasuk dua parang digunakan suspek yang sudah dibuang ke dalam sungai berhampiran kawasan berkenaan.

“Hasil siasatan awal, dua suspek mengaku terbabit dalam kejadian itu. Hasil semakan, mereka berdua mempunyai rekod lampau dalam jenayah dan dadah.

“Ujian saringan awal air kencing juga mendapati kedua-dua mereka positif dadah jenis methamphetamine. Mereka kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 23 Julai ini,” katanya.

Pihaknya kata beliau, kini giat mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas iaitu seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun yang turut mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyan 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar polis.- MalaysiaGazette