TMJ berkongsi gambar pertemuan dengan Pan-gon di Twitter.

KUALA LUMPUR – Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengadakan pertemuan dengan bekas ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon di sebuah hotel malam tadi.

Tunku Ismail berkongsi gambar pertemuan yang turut dihadiri beberapa individu lain di Twitter.

Good luck and all the best Kim Pan-gon. Had a good football discussion (Semoga berjaya dan selamat sejahtera Kim Pan-gon. Mengadakan perbincangan baik mengenai bola sepak),” kata Tunku Ismail di Twitter.

Pertemuan itu berlangsung selepas beberapa jam Tunku Mahkota Johor (TMJ) mahu Pan-gon berterus-terang mengenai punca utama beliau meninggalkan skuad bola sepak kebangsaan.

Tegasnya, lelaki berasal dari Korea Selatan itu sepatutnya menjawab soalan wartawan secara khusus dan bukannya membuat kenyataan umum seperti “bahaya,” yang mengundang pelbagai persepsi.

“Apa susah. Pergi tanya dia beramai ramai apa yang dia maksudkan “dangerous”. Penyokong, ahli politik dan pihak media. Tanya dia apa maksud dia “dangerous.” Be more specific. Takut kena tembak? Takut kena kidnapped? Kena sepak? Be direct! @RimauXI

“Awak dulu pernah datang rumah saya, ada kena belasah? Bawa carta berkenaan konspirasi dalam FAM. Tapi bila saya minta bukti, awak bagitau ini semua teori sahaja. Jadi ini semua lagi satu created konspirasi teori,” katanya menerusi satu komen di aplikasi X.

Terdahulu, Pan-gon bertegas untuk tidak mendedahkan punca sebenar yang mendorong beliau meletakkan jawatan Ketua Jurulatih Harimau Malaya meskipun diasak oleh wartawan.

Katanya, perkara itu dianggap ‘bahaya’ dan ia hanya diketahui oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

“Butiran lanjut mengenai keputusan ini tidak boleh saya kongsikan di sini. Sangat bahaya. Datuk Hamidin tahu semuanya tetapi tidak perlu tanya dia lagi,” kata Pan-gon pada sidang media khas.

Bekas jurulatih kelahiran Korea Selatan itu bagaimanapun berkata, sebab pengunduran telah dimaklumkan kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia ( FAM).- MalaysiaGazette