JOHOR BAHRU – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bersyukur kerana kadar kemiskinan di negeri ini sudah dikurangkan daripada 1,132 orang pada April lalu kepada 90 orang setakat 10 Julai lalu.

Baginda berharap kerajaan negeri akan terus bekerja keras dalam mengenal pasti dan membantu mereka yang masih berstatus miskin tegar.

“Pembukaan Dewan Negeri Johor (DUN) ke-15 pada 9 Mei 2024 yang lalu, saya telah menitahkan supaya tiada seorang pun ketua isi rumah Bangsa Johor berstatus miskin tegar selepas 2025.

“Alhamdulillah, bilangan ketua isi rumah berstatus miskin tegar di Johor telah dikurangkan daripada 1,132 pada April 2024 kepada 90 pada 10 Julai 2024,” titah Tunku Mahkota Ismail dalam kenyataan yang dikeluarkan Unit Media dan Komunikasi Istana Bukit Pelangi hari ini.

Kenyataan tersebut turut dimuat naik dalam Facebook rasmi baginda HRH Crown Prince of Johor.

Pada 9 Mei lalu, ketika merasmikan pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Ketiga DUN Johor ke-15, Tunku Mahkota Ismail bertitah mahukan kemiskinan di negeri ini dihapuskan.

Baginda bertitah agar tiada seorang pun ketua isi rumah Bangsa Johor yang berstatus miskin tegar pada 2025.

Titah baginda lagi, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu mencari dan mengenal pasti golongan terbabit di kawasan masing-masing dalam tempoh 19 bulan akan datang dan menyalurkan segala bantuan yang diperlukan.

“Menjadi keutamaan saya untuk memastikan semua bangsa Johor mempunyai makanan di atas meja masing-masing, tempat tinggal, akses pendidikan berkualiti untuk anak-anak Johor serta akses kepada kemudahan asas dan kesihatan yang baik,” titah baginda. – MalaysiaGazette