Ihsan Gambar - Instagram Catholic University of Korea Eunpyeong St Mary's Hospital

KOREA SELATAN – Nama aktor dan model popular, Nam Yoon Su menjadi sebutan apabila beliau mendermakan buah pinggang kepada bapanya mendapat pujian orang ramai.

Yoon Su menerusi satu pautan di laman sosial Instagram berkata, keputusan itu bukanlah sesuatu yang mudah tetapi beliau percaya telah membuat perkara yang betul.

“Saya gembira kerana keputusan itu telah memberikan ayah saya untuk menjalani hari-hari yang lebih baik.

“Selain itu, saya amat berterima kasih kepada peminat kerana tidak putus memberikan kata-kata semangat selepas mendengar berita ini dan semestinya, tidak lupa kepada pihak hospital yang telah memberikan layanan yang sangat baik kepada saya dan keluarga.

“Harapan saya adalah untuk menjadi seseorang yang akan sentiasa bersedia menghulurkan tangan kepada mereka yang memerlukan tanpa berasa gerun dan was-was,” katanya.

Baru-baru ini, Yoon Su dan ayahnya menjalani prosedur pemindahan buah pinggang di Universiti Katolik Korea Eunpyeong St Mary’s Hospital.

Pihak hospital telah memuat naik hantaran menyatakan kedua-kedua mereka telah pulih dan dibenarkan pulang ke rumah.

Agensi yang mewakili Yoon Su, Agency Garten menambah bahawa pelakon itu telah menjalani pemindahan pada 19 Jun lalu.

 “Kini, beliau sedang menjalani persiapan untuk membintangi drama bersiri bertajuk Love In the Big City,” ujarnya. – MalaysiaGazette