Dr Muhammad Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan hari ini perlu diberi peluang dan ruang untuk mentadbir negara sehingga berakhirnya penggal Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, sebarang usaha menjatuhkan kerajaan secara tidak demokrasi seperti melompat parti atau `tebuk atap ‘ hanya akan menambah rasa benci dan jemu rakyat terhadap politik dan pemimpinnya.

Jelasnya, meskipun beliau sendiri ada tidak bersetuju dengan dasar Kerajaan Perpaduan hari ini dan antara yang lantang mengkritik sehingga digelar `jurucakap’ Perikatan Nasional (PN), tetapi ia dilakukan demi kebaikan rakyat, bukannya mahu menjatuhkan kerajaan sedia ada.

“Sebab itu saya lantang bersuara dalam isu enam Ahli Parlimen Bersatu supaya kerusi mereka dikosongkan dan pilihan raya kecil diadakan sebab untuk menukar pemimpin dan kerajaan mesti perlu melalui pilihan raya,” katanya dalam program Skop MG yang disiarkan secara langsung menerusi platform digital MalaysiaGazette malam tadi.

Selain Muhammad Akmal, turut menjadi ahli panel pada program temubual di bawah tajuk Politik Sesatkan Minda Anak Muda? itu ialah Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden.

Temubual Skop MG bersama Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Saleh dan Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi di Pejabat Malaysia Gazette,Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 17 JULAI 2024.

Tambah beliau, rakyat juga mempunyai tempoh hanya kira-kira tiga tahun sahaja lagi sehingga PRU-16 untuk menukar kerajaan dan boleh memenangkan PN sekiranya berasakan gandingan politik itu lebih baik berbanding Kerajaan Perpaduan hari ini.

Di pihak UMNO juga, ujarnya, parti itu turut berjuang berhabis-habisan pada PRU-16 kelak bagi memastikan dapat menarik semula sokongan rakyat seterusnya membentuk kerajaan.

Bagaimanapun, tegas beliau, sekiranya keputusan PRU-16 memihak kepada PN, UMNO kekal dengan pendirian dan prinsip kerajaan selepas PRU-16 tidak akan ditumbangkan melalui tindakan katak-katak politik atau cubaan tebuk atap.

“Sebab ini bukan soal saya atau Afnan (soal pemimpin politik), tetapi soal bagaimana untuk kita majukan negara menjadi lebih baik pada masa depan, itu jauh lebih besar.

“Jadi, saya minta sangat-sangat, kalau ada yang mahu tolak Anwar (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) atau ada yang mahu tolak Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), biar ia berlaku pada PRU-16, (bukan guling kerajaan hari ini secara tidak sah),” katanya.

Dalam pada itu, menjawab soalan penonton yang menyifatkan DAP adalah parti yang merosakkan dan memusnahkan negara, Muhammad Akmal tidak bersetuju dengan dakwaan tersebut hanya kerana tindak-tanduk pemimpin tertentu di dalam parti berkenaan.

Sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai tuduhan berat, beliau berkata, semua parti politik sama ada Pas, Bersatu dan UMNO pernah menjalin kerjasama dengan DAP berdasarkan garis sempadan yang ditetapkan parti masing-masing.

Jelas beliau, UMNO tidak berkompromi dari segi agama, bangsa dan tanah air dalam kerjasama dengan DAP dalam Kerajaan Perpaduan dan sekiranya ada pihak yang melangkaui sempadan itu, maka sudah seharusnya parti itu akan bangkit mempertahankannya.

“Ini soal bagaimana untuk kita menguruskan (perselisihan dengan DAP), tidak semestinya juga UMNO akan duduk dengan DAP sehingga PRU-16, ini bukan hala tuju kita, mungkin boleh bersama atau mungkin tidak.

“Apa yang lebih penting adalah apa-apa perkara yang melangkaui batas, maka kita wajib tentang habis-habisan tidak kira parti mana sekalipun,” katanya.  – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast