Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal meletakkan isu pengantungannya dalam Dewan Rakyat sebagai ‘nombor dua’.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, membantah penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada syarikat berkaitan BlackRock yang didakwa pro Zionis adalah lebih penting.

“Gantung enam bulan atau tidak itu perkara nombor 2. Yang penting rakyat harus terus berjuang bantah dan batalkan urus niaga penjualan saham MAHB kepada GIP-BlackRock yang pro Zionis. Demi agama, bangsa dan negara!

“Ini mungkin hari atau jam-jam terakhir akan berada di Parlimen kalau usul mengantung saya selama enam bulan berhasil pada pukul 12.30 tengah hari ini.

“Saya merayu pada rakyat Malaysia kita teruskan perjuangan kita untuk membantah, membatalkan penjualan saham MAHB kepada BlackRock kerana ia memudaratkan negara dan menjadi 1MDB yang baharu,” katanya dalam perkongsian di media sosial.

Hari terakhir mesyuarat kedua Dewan Rakyat hari ini dijadual membahaskan usul menggantung Ahli Parlimen Machang tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, dijangka membentangkan usul agar Wan Ahmad Fayhsal digantung daripada Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan Jawatankuasa Pilihan Parlimen selama enam bulan.

Ini susulan kenyataan beliau semasa perbahasan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2021 dan 2022 pada 1 Julai lalu, berhubung sepucuk surat layang yang tular dan didakwa mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Usul itu menyatakan, Wan Ahmad Fayhsal membawa perhatian suatu surat layang yang tidak dapat dikenal pasti identiti pengadu dan kesahihan maklumatnya dan ia bukan saja memberi kesan buruk kepada individu yang didakwa tetapi juga secara umum kepada pegawai agensi di bawah kementerian, yang mungkin teraniaya kerana tuduhan tidak berasas itu.

Pada 1 Julai lalu, ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Wan Ahmad Fayhsal menuntut penjelasan diberikan berhubung keputusan penjualan sebahagian saham MAHB selepas beliau dikatakan menerima satu surat layang mendedahkan ‘dalang’ di sebalik keputusan berkenaan.

Beliau secara terbuka turut menamakan individu terbabit yang didakwanya pegawai atasan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Wan Ahmad Fayhsal, sebelum itu mengemukakan usul tergempar bagi menggesa penangguhan atau pembatalan penjualan sebahagian saham MAHB kepada syarikat berkait BlackRock, Global Infrastructure Partners (GIP), namun usul itu ditolak Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul. – MalaysiaGazette