Hassan Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Empat ahli Parlimen blok kerajaan melahirkan kebimbangan dengan langkah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) untuk melantik juruaudit profesional sebagai pihak ketiga bagi melakukan audit bebas ke atas Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp).

Mereka adalah Hassan Karim (PH-Pasir Gudang), William Leong (Ph-Selayang), Wong Chen (PH-Subang) dan Chiew Choon Man (PH-Miri).

Mereka berpendapat, langkah itu akan membuka ruang untuk kementerian lain untuk mempertikaikan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).

“Kami ingin meminta penjelasan daripada kementerian untuk menjelaskan bahawa juraudit bebas ini tidak berada di situ untuk memberikan pandangan kedua untuk menilai semula hasil Laporan Ketua Audit Negara tetapi hanya untuk mencadangkan kaedah-kaedah, dokumentasi dan prosedur untuk tatakelola yang lebih baik.

“Ini akan membuka peluang kepada kementerian-kementerian dan agensi kerajaan lain untuk mempertikai Laporan Ketua Audit Negara dan melemahkan Ketua Audit Negara,” kata mereka dalam sidang media bersama di Dewan Rakyat hari ini.

Minggu lalu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim sebelum ini berkata, KESUMA akan melantik juruaudit profesional sebagai pihak ketiga bagi melakukan audit bebas ke atas HRD Corp.

Beliau dipetik berkata, audit bebas akan meneliti segala proses, prosedur, dokumentasi dan kepatuhan terhadap undang-undang serta sebarang garis panduan dalam isu dibangkitkan dalam laporan Jabatan Audit Negara (JAN) dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Kenyataan itu mendapat perhatian Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang berkata, penemuan dan dapatan hasil audit bebas terhadap HRD Corp perlu dibentangkan kepada PAC.

Pembentangan itu perlu dibuat apabila pihak Kesuma dan HRD Corp dipanggil semula untuk prosiding tindakan susulan pada September ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast