KUALA LUMPUR – Pelakon dan penyanyi baharu, Fikry Kiki menafikan dakwaan segelintir pihak yang mendakwa dia dibela ‘sugar mummy’ gara-gara menjalankan bisnes kopi dengan mengeluarkan modal sebanyak RM600,000.
Sebaliknya, Fikry Kiki atau nama sebenarnya Muhammad Fikry Izzudin Mohd Fuad,20, berkata, wanita dikenali Mabel Ira Bulan yang juga pempengaruh adalah rakan kongsi dalam perniagaan itu.
Justeru tegasnya, tuduhan itu sama sekali tidak berasas dan dia masih mampu membezakan pahala dan dosa malah mengingati pesanan ibu bapanya menjauhi kegiatan tidak bermoral.
“Tidak dinafikan, mungkin tawaran lakonan yang saya dapat tidak sehebat pelakon-pelakon muda lain walaupun sudah berlakon sejak umur lima tahun.
“Namun itu bukan alasan untuk saya ‘menjual’ diri saya jadi ‘anak ikan’ atau dibela sesiapa dengan tujuan untuk hidup kaya.
“Saya masih ingat dosa pahala dan arwah ayah dan ibu saya didik saya dari kecil untuk berusaha sendiri dalam mencapai apa yang diinginkan,” katanya pada Sidang Media Pelancaran Liquffe di sini semalam.
Fikry yang dikenali dengan drama Tidak Ada Sepertimu berkata, Bulan sudah anggap seperti kakaknya apatah lagi dia berpengalaman dalam dunia bisnes sebelum ini,
“Pada asalnya, dia ada berkongsi kepada saya tentang produk kopi tanpa bancuh iaitu Liquffe yang sedang kami usahakan sekarang dan meminta pendapat saya mahu mengeluarkan produk yang pertama di Malaysia itu.
“Apabila saya cuba produk itu selama beberapa bulan, memang sedap dan yakin boleh pergi jauh dan dari situlah bermulanya kami jadi rakan bisnes dan duit RM600,000 itu adalah modal kami bersama kerana saya pun tidak tahu sampai bila akan bertahan dalam industri seni.
“Kami memang sudah lama berkawan dan saya berharap netizen berhenti menyindir saya di Instagram kerana modal tersebut adalah hasil simpanan saya sendiri,” ujarnya,” katanya. – MalaysiaGazette