Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof

KUALA LUMPUR – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu mengecam tindakan blok kerajaan menggantung Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fahsyal daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan bermula hari ini.

Pengerusi Biro Armada Nasional, Dr Mohd Aleef Yusof berkata, ia sebagai episod malang dan gelap kerajaan sambil menyifatkannya sebagai tindakan jahat, tidak demokratik dan pengecut.

“Sudah tentu tindakan ini untuk menutup mulut wakit rakyat daripada berjuang demi kepentingan dan hak rakyat.

“Tindakan ini cukup mencemar sistem demokrasi berparlimen selepas Speaker Dewan Rakyat bertindak tidak mengosongkan kerusi Parlimen bagi enam pengkhianat blok Perikatan Nasional (PN),” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Wan Ahmad Fayhsal digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan bermula hari ini.

Ia susulan dakwaannya mengenai surat layang dikatakan mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Keputusan itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul selepas usul berkenaan mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen, dengan 110 daripadanya bersetuju dan 63 tidak bersetuju, selepas undi belah bahagi dijalankan, manakala tiga tidak mengundi dan 46 tidak hadir.

Usul mengenai penggantungan Wan Ahmad Fayhsal dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Dua Ahli Parlimen membahaskan usul berkenaan iaitu Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut) dan Azli Yusof (PH-Shah Alam), sambil dicelah beberapa Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang. – MalaysiaGazette