Ahli keluarga, Nur Farah Kartini Abdullah sebak selepas dimaklumkan pihak polis mengenai perkembangan proses bedah siasat mangsa di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh. Foto SYADILA AMARI, 15 JULAI 2024.

SUNGAI BULOH – Keluarga bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah menyuarakan harapan agar urusan tuntutan jenazah berjalan lancar dan disegerakan.

Menurut abang arwah Mohd Farriza Amir Abdullah, sehingga kini pihaknya masih belum menerima perkembangan terkini berkaitan urusan penuntutan jenazah adiknya.

“Belum ada sebarang perkembangan, doakan urusan kami dipercepatkan dan dipermudahkan,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, setakat pagi ini media belum mendapat apa-apa informasi daripada Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh.

Semalam, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata jenazah  Nur Farah, 25, tidak boleh dituntut kerana pihaknya perlu menunggu keputusan sampel DNA (asid deoksiribonukleik) yang diambil daripada ahli keluarganya.

Katanya, polis masih belum mengenal pasti punca kematian wanita itu berikutan bahagian dada dan mukanya yang reput ketika dijumpai.

Sebagai rekod, mayat Nur Farah Kartini, dijumpai di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang kira-kira 6 petang, Isnin lalu selepas dilaporkan hilang sejak 10 Julai.

Sebagai rekod, mayat Nur Farah Kartini yang hilang sejak 10 Julai lalu ditemui di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira jam 6 petang.

Beliau dipercayai dibunuh oleh individu yang dikenalinya.

Susulan kejadian itu, seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga anggota polis bertugas di Kontinjen Perak telah ditahan dan direman tujuh hari sehingga 22 Julai depan untuk siasatan berkaitan kes terbabit di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.-MalaysiaGazette