sedekah fadhli shaari
Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Tindakan mengantung Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad selama enam bulan daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat akan dibalas.

Amaran itu disampaikan oleh Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari selepas menyifatkan hukuman terhadap Wan Ahmad Fayhsal sebagai zalim dan dianggap episod hitam sejarah Dewan Rakyat.

Menurut Ketua Penerangan Pas itu, Wan Ahmad Fayhsal seharusnya dirujuk kepada Jawatankuasa Khas Parlimen sebelum sebarang tindakan diambil.

“Kenapa tak merujuk kepada Jawatankuasa Khas terus buat usul, bahas sikit terus gantung. Ini satu kezaliman kepada YB Machang semata-mata mahu menutup isu penjualan MAHB kepada GIP yang dimiliki BlackRock.

“Kezaliman yang sangat kejam, yang dibuat oleh Dewan Rakyat dengan berselindung di sebalik jubah seorang Speaker yang telah dikawal secara politik oleh kerajaan PH-BN pada hari ini.

“Ingatlah hari ini sebagai detik kamu melakukan perkara ini 18 Julai 2024, sejarah ini akan berulang kembali kepada kamu pada satu hari nanti. Ingat-baik-baik. Jangan melakukan kezaliman. Kerana kezaliman itu akan berbalik kepada kamu juga satu hari nanti,” katanya.

Ahmad Fadhli mendakwa, DAP dan PKR sebelum ini seringkali mengecam tindakan mengantung kehadiran ahli Parlimen ke Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, kedua-dua parti itu melakukan tindakan yang mereka kritik satu ketika dahulu.

Beliau mendakwa Ahli Parlimen dari kedua-dua parti itu juga pernah menyebut nama individu tertentu termasuk isteri bekas Perdana Menteri, Datik Seri Rosmah Mansur di Parlimen dan tidak dikenakan tindakan.

“Kononnya menyebut nama seseorang, pihak yang ketiga tidak boleh bela diri dalam dalam Parlimen.

“Eh, dulu kamu sebut nama Rosmah beli cincin, sebut nama Jho Low, sebut nama Nik Amar. Orang tidak ada dalam dewan. Kamu boleh sebut.

“Ia lah mereka bukan penjawat awam, ok, tetapi mereka juga pihak ketiga tak boleh membela diri,” kata Ahmad Fadhli.

Wan Ahmad Fayhsal digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan bermula hari ini, susulan dakwaannya mengenai surat layang dikatakan mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Keputusan itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul selepas usul berkenaan mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen, dengan 110 Ahli Parlimen bersetuju dan 63 tidak bersetuju, selepas undi belah bahagi dijalankan, manakala tiga tidak mengundi dan 46 tidak hadir.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast